Skip to main content
07 August, 2025

MAJLIS PENYERAHAN PROJEK SIAP PEMBINAAN BLOK ASRAMA BAHARU MAAHAD AHMADI TANAH MERAH

07 August, 2025
TANAH MERAH – Majlis Penyerahan Projek Siap Pembinaan Blok Asrama Baharu Maahad Ahmadi Tanah Merah telah berlangsung dengan jayanya pada 5 Ogos 2025, menandakan selesainya projek pembinaan satu (1) blok bangunan asrama yang moden, selesa dan lengkap dengan kemudahan asas bagi kegunaan pelajar-pelajar institusi berkenaan.
 
Projek ini dilaksanakan oleh kontraktor First Target Resources dengan penyeliaan rapi oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) Negeri Kelantan serta dibiayai sepenuhnya oleh Yayasan Islam Kelantan (YIK), sebagai inisiatif memperkukuh kemudahan prasarana pendidikan agama di negeri ini. Pembinaan telah bermula secara rasmi pada 17 April 2023 selepas tapak diserahkan, dan meskipun menghadapi beberapa cabaran pelaksanaan yang memerlukan lanjutan masa sebanyak dua kali, projek ini berjaya disiapkan sepenuhnya pada 21 Mac 2025.
 
Majlis penyerahan telah disempurnakan oleh YB Dato’ Ustaz Hj. Wan Roslan bin Wan Hamat, EXCO Pendidikan, Pengajian Tinggi, Teknologi Hijau, Digital dan Inovasi Negeri Kelantan. Turut hadir memeriahkan majlis ialah:
 
1. YABrs. Ir. Hj. Nik Soh bin Yaacoub, Pengarah Jabatan Kerja Raya Negeri Kelantan
2. YABrs. Tuan Hj. Zulkiflie bin Ab Rahman, Pengarah Yayasan Islam Kelantan
3. Wakil Timbalan Yang Dipertua Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK)
4. YBrs. Ustazah Hjh. Nor Asiah binti Mamat, Pengetua Sekolah Maahad Ahmadi, Tanah Merah
5. Kontraktor First Target Resources
 
serta barisan pegawai kanan JKR Kelantan serta kakitangan teknikal projek
Majlis turut diserikan dengan tayangan montaj pembangunan projek, ucapan penghargaan, penyerahan dokumen rasmi dan replika kunci, serta penyampaian sijil penghargaan dan sesi bergambar.
 
Kejayaan pelaksanaan projek ini adalah hasil kerjasama erat antara JKR Negeri Kelantan, Yayasan Islam Kelantan, pihak kontraktor serta pentadbiran Maahad Ahmadi yang sentiasa komited dalam memastikan projek ini berjalan lancar dan mencapai matlamatnya. Diharapkan kemudahan baharu ini akan memberi manfaat besar kepada para pelajar dalam mewujudkan persekitaran pembelajaran dan kehidupan asrama yang lebih kondusif, selesa dan selamat, sekaligus menyumbang ke arah peningkatan mutu pendidikan agama di negeri ini.
 
Tahniah dan syabas diucapkan kepada semua pihak yang terlibat secara langsung dan tidak langsung atas kejayaan menyempurnakan projek ini dengan cemerlang.
JKR Kelantan akan terus komited dalam melaksanakan projek-projek infrastruktur pendidikan dengan cekap, berkualiti dan menepati keperluan semasa demi manfaat jangka panjang kepada warga pendidik dan para pelajar.
 
penyerahan
 
penyerahan
 
penyerahan
 
penyerahan
 
penyerahan
 
penyerahan
 
penyerahan
 
penyerahan